Bila Aku Mati




Satu hari nanti, Allah akan mengambil semula aku daripada ahli keluargaku.



Semasa aku mati, aku kurang pasti sama ada ramai orang akan bersedih dan redha pemergian aku atau tidak.

Semasa aku mati, aku kurang pasti sama ada ramai yang berseronok meraikan pemergian aku kerana tiada lagi orang yang mereka tidak sukai?


Semasa aku mati, aku kurang pasti kiranya akan ada nisan yang ditegakkan di atas pemakaman ku atau aku hilang tanpa makam? 

Semasa aku mati, aku kurang pasti kiranya aku syahid dunia, syahid akhirat atau tiada ruang syahid buat aku?

Semasa aku mati, aku kurang pasti sama ada aku akan tersenyum melihat pintu masuk ke Raudhah, salah satu taman syurga.


Semasa aku mati, aku kurang pasti kiranya selonggokan ular sedang menunggu hidangan makan malam buat mereka.



Semasa aku mati, aku kurang pasti kiranya ada yang sanggup untuk mengusung jenazah ku ke pemakaman.

Semasa aku mati, aku kurang pasti kiranya mayat aku akan mereput atau segar dalam tanah Allah.

Semasa aku mati, aku kurang pasti kiranya aku berjaya menjawab soalan daripada Munkar dan Nakir meski soalannya sudah dibocorkan sejak berabad lalu.


Semasa aku mati, aku kurang pasti kiranya aku yang akan membingitkan telinga jiran kiri dan kanan ku kerana aku sedang disiksa.

Semasa di akhirat, aku kurang pasti kiranya buku amalan ku di sambut menggunakan tangan kanan atau kiri.

Semasa di akhirat, aku kurang pasti kiranya junjungan ku akan menghulurkan air dari telaga kausar buat ku yang kehausan.

Semasa di titian sirat, aku kurang pasti kiranya aku berlari seperti lajunya buraq atau merangkak seperti bayi yang baru dilahirkan.

Semasa di hari pembalasan, aku kurang pasti kiranya Jahannam sedang melebarkan tengkuknya lalu menangkapku sebagaimana burung mematuk kacang.




Apa yang aku pasti, aku akan mati. 

Sekiranya satu hari nanti aku mati, 

sedekahkan Al-Fatihah buat aku. 

Jangan tangisi pemergianku kerana Allah lebih merinduiku. 

Harapan aku tinggi agar syahid bertemu jasad ku.

Aaminn











Tiada ulasan:

Catat Ulasan